PERBANYAKKAN SELAWAT DI HARI JUMAAT | Boleh dikatakan ia adalah penghubung antara kita dengan Rasulullah Saw begitu juga apabila kita berdoa kepada Allah swt.
Perbanyakkan selawat di hari jumaat antara 10 amalan dihari jumaat rugi jika kita tak buat.Dan jangan lupa zikir hari jumaat pada hari ini selain membaca Surah Al-Kahfi.
Biar ada kesedaran nak buat dari tak buat langsung kan?Jadi ambil masa untuk kita zikir dan selawat ke atas Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad SAW.
PERBANYAKKAN SELAWAT DI HARI JUMAAT
Selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW:
- Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]
Berdasarkan soalan di atas, terdapat satu riwayat di dalam al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi bahawa akan dibentangkan setiap selawat daripada umat Nabi Muhammad SAW kepada Baginda SAW pada setiap hari Jumaat:
- Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]
Berikut adalah teks hadith yang menceritakan berkaitan selawat yang dibaca akan dibentangkan kepada Nabi SAW pada setiap hari Jumaat. Adapun berkaitan penilaian riwayat atau hadith ini, para ulama berbeza pandangan. Di sini kami nukilkan beberapa penilaian para ulama berkaitan hadith ini:
- Imam al-Baihaqi mengatakan hadith ini diriwayatkan dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza daripada Anas bin Malik RA. Akan tetapi, kesemuanya membawa kepada galakan (memberi semangat) untuk berselawat ke atas Nabi SAW malam Jumaat dan hari Jumaat. Tambahan pula, sebahagian sanadnya adalah dhaif dan apa yang telah kami sebutkan telah cukup. [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 3/353]
- Imam al-Sakhawi menilai sanad hadith ini adalah hasan walaupun jumhur ulama menyatakan bahawa Makhul tidak pernah bertemu Abu Umamah RA. [Lihat: al-Qaul al-Badi’, 233]
- Imam al-Suyuthi menilai sanad hadith daripada riwayat yang dinukilkan oleh al-Baihaqi adalah hasan. [Lihat: al-Khasais al-Kubra, 2/457]
- Imam al-‘Ajlouni menghukum sanad hadith ini adalah jayyid (baik). [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 1/190]
- Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50]
- Syeikh al-Albani menghukum hadith ini adalah dhaif. [Lihat: Dhaif al-Jami’, 1115]
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada hadith ini adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh para ulama di atas. Selain itu, Imam al-Syaukani hadith ini menjadi dalil bahawa setiap selawat yang dibaca oleh hamba-hamba Allah akan dibentang di hadapan Nabi SAW pada setiap hari Jumaat. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50]
sumber: Sini
Salam jumaat korang…