JADUAL PUASA MUHARRAM 1444H/2022 |Selamat berpuasa bagi mereka yang berpuasa hari ni.Alhamdulillah syukur Allah swt beri lagi kesempatan untuk terus beribadah kepadaNya.
Puasa dan amalan yang terbaik selepas bulan Ramadhan ialah berpuasa di bulan Muharam.
Di bulan Muharram kita digalakkan untuk perbanyakkan puasa sunat pada bulan yang mulia ini kerana sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah puada di bulan Muharam.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata:
سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya, solat apakah yang paling utama setelah solat maktubah (wajib)? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadan? Maka Baginda menjawab: Sebaik-baik solat setelah solat maktubah (wajib) adalah solat pada sepertiga akhir malam, dan sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam.
(HR Muslim, hadis sahih)
Demikian juga terdapat sebuah hadis daripada Ali r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمْ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ فِيهِ يَوْمٌ تَابَ فِيهِ عَلَى قَوْمٍ وَيَتُوبُ فِيهِ عَلَى قَوْمٍ آخَرِينَ
Maksudnya: “Jika kamu ingin berpuasa selain bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharam, kerana sesungguhnya ia bulan di mana Allah telah memberi taubat kepada kaumnya Musa dan memberikan taubat kepada kaum yang lain.”
(HR Tirmizi, hadis hasan gharib)
PUASA SUNAT YANG BOLEH DILAKUKAN PADA BULAN MUHARAM
Antara puasa sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharam ialah:
1. PUASA SUNAT ISNIN DAN KHAMIS
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.”
(HR Tirmizi, hadis hasan gharib)
Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah RA berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)
2. PUASA SUNAT TASU’A
• Puasa Tasu’a berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan.
• Puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharam dalam kalendar hijrah Islam.
Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke sembilan (Muharam).”
(HR Muslim, hadis sahih)
Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a
نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana Allah Ta’ala”.
3. PUASA SUNAT ‘ASYURA
• ‘Asyura berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu عَشَرَة (‘asyarah) yang bermaksud sepuluh.
• Hari ‘Asyura adalah hari yang ke sepuluh dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam.
• Pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada hari tersebut. Disebabkan itu, umat Islam menghormati hari ‘Asyura sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
• Terdapat nas khusus berkenaan puasa hari ‘Asyura. Daripada Abdullah Ibnu Abbas r.a:
قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ”مَا هَذَا”. قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ ”فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ”. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Kata Ibnu Abbas r.a. apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ
Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura.
(HR Bukhari, Hadis Sahih)
Daripada Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW:
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
(HR Muslim, hadis sahih)
Lafaz Niat Puasa Asyura
نَوَيْتُ صَوْمَ عَشُرَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari ‘Asyura pada besok hari kerana Allah Ta’ala”.
4. PUASA SUNAT HARI PUTIH (AYYAMUL BIDH)
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun”.
(HR Abu Daud, hadis sahih)
LAFAZ PUASA SUNAT AYYAMUL BIDH
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.
AMBIL PELUANG INI UNTUK BERPUASA SUNAT
Sahabat, mari bersama ambil peluang ini untuk melazimi puasa sunat dalam bulan Muharam, mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan yang dimasukkan dalam Syurga ar-Rayyan seperti hadis berikut:
Daripada Sahal bin Sa’d r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ في الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانِ يَدخُلُ مِنهُ الصَّائِمُونَ يَومَ القِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مِنهُ أَحَدٌ غَيْرُهُم
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.”
(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Rujukan:
1. Al-Quran
2. Laman Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan
3. Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor
Asma’ binti Harun
KELEBIHAN BULAN MUHARRAM
- Allah subhanahu wa ta’ala menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharram.
- Allah subhanahu wa ta’ala menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram.
- Diciptakan lautan pada 10 Muharram.
- Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram.
- Diciptakan papan tulis (Lauh Mahfuz) pada 10 Muharram.
- Diciptakan papan tulis (Lauh Mahfuz) pada 10 Muharram.
- Diciptakan Adam ‘Alaihissalam pada 10 Muharram.
- Dimasukkan Adam ‘Alaihissalam ke dalam Syurga pada 10 Muharram.
- Dilahirkan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam pada 10 Muharram.
- Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam diselamatkan dari api Namrud pada 10 Muharram.
- Diselamatkan anak Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam iaitu Nabi Ismail ‘Alaihissalam dari sembelihan pada 10 Muharram.
- Ditenggelamkan Fir’aun dan tentera-tenteranya pada 10 Muharram.
- Diampunkan dosa Nabi Daud ‘Alaihissalam pada 10 Muharram.
- Dilahirkan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam pada 10 Muharram.
- Dikeluarkan Nabi Yunus ‘Alaihissalam dari perut ikan Nun pada 10 Muharram.
- Disembuhkan penyakit Nabi Ayyub ‘Alaihissalam pada 10 Muharram.
- Diangkat Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam kelangit pada 10 Muharram.
- Diterima taubat Nabi Adam ‘Alaihissalam pada 10 Muharram.
- Dianugerahkan takhta kerajaan kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam pada 10 Muharram.
- Diciptakan ‘Arasy pada 10 Muharram.
- Awal-Awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram.
- Diselamatkan bahtera Nabi Nuh ‘Alaihissalam daripada tenggelam pada 10 Muharram.
Semoga kita mendapat keberkatan dalam melakukan ibadah puasa di bulan Muharram ni dan semoga bermanfaat untuk semua.