Apa Itu Ikhtilat Menurut Islam

Apa Itu Ikhtilat Menurut Islam Yang Perlu Kita Fahami

Apa Itu Ikhtilat Menurut Islam yang perlu kita fahami| Sedikit perkongsian di hari jumaat tentang apa itu ikthilat dan apakah bahayanya terhadap orang disekeliling kita.Kalau kita sebut, tapi tak tau apa maksudnya tak guna jugak kan.

Sedikit perkongsian untuk kita semua di hari jumaat yang indah ni.Seringkali kan kita menyebut tentang ikhtilat tetapi adakah kita benar-benar faham tentang apa maksud di sebalik ikhtilat tu?

Hasil pembacaan umi disini , umi kongsikan disini supaya nanti ianya dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada umi, malah kepada semua juga.So, Apa Itu Ikhtilat Menurut Islam? Jom baca

APA ITU IKHTILAT

Ikhtilat secara umumnya membawa maksud percampuran antara dua jantina di satu-satu tempat. Ia adalah satu perkara yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ia boleh berlaku di pasar, jalan raya, ketika solat berjemaaah di masjid, ketika tawaf di sekitar Ka’bah, ketika wukuf di Arafah, ketika melontar Jamrah dan sebagainya.

Ikhtilat pada asalnya dibolehkan oleh syara’, tetapi dengan beberapa syarat. Jika tidak, maka sulitlah kehidupan manusia seharian. Namun begitu, kita perlulah membezakan antara ikhtilat yang dibenarkan dan khulwah yang diharamkan.

Ikhtilat, sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi, hukum asalnya adalah mubah (harus) bagi memudahkan kehidupan manusia. Tiada halangan padanya kecuali jika ia membawa kepada perkara yang haram.

KHULWAH

Sementara khulwah pula, ia bermaksud: percampuran antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (boleh dikahwini) di sesuatu tempat tanpa ditemani oleh mahram perempuan tersebut. Hukum asal bagi khulwah ini adalah HARAM, kecuali pada perkara yang dharurat. Tujuannya adalah untuk mengelak daripada berlakunya fitnah.

Apa Itu Ikhtilat Menurut Islam

SYARAT-SYARAT YANG PERLU DIPENUHI BAGI MEMBOLEHKAN IKHTILAT

Seterusnya, marilah kita bincangkan pula syarat-syarat yang membolehkan ikhtilat:

  1. Hendaklah perempuan tersebut memakai hijab dengan sempurna (Al-Hijab Al-Kamil), dan bagi lelaki pula perlu menutup aurat

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

(Surah Al-Ahzab : 59)

  1. Pihak perempuan perlu menjauhi daripada memakai minyak wangi atau perhiasan yang dapat dilihat walaupun telah memakai hijab

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ

dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka,

(Surah An-Nur : 31)

أي مَا امْرَأَة اسْتَعْطَرَتْ ، فَمَرَّتْ عَلَى قَوْ م لَيَجِدُوْا مِنْ رِ يْحِهَا ، فَهِيَ زَانِيَةٌ

Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian, lalu dia berjalan di hadapan sesuatu kaum dan kaum tersebut menghidu wangiannya, maka dia telah berzina.

  1. Hendaklah terhindar dari berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi (seperti berjabat tangan)

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ ٣٠ وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ

Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya.

(Surah An-Nur: 30-31)

Ini kerana, melihat perempuan yang ajnabi telah dilarang, apatah lagi bersentuhan dengannya, lebih-lebih lagi dilarang. Inilah yang telah disepakati oleh ulama.

  1. Hendaklah bebas daripada memperkatakan sesuatu yang dapat merangsang nafsu syahwat

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰنِسَآءَ ٱلنَّبِيِّ لَسۡتُنَّ كَأَحَدٖ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِنِ ٱتَّقَيۡتُنَّۚ فَلَا تَخۡضَعۡنَ بِٱلۡقَوۡلِ فَيَطۡمَعَ ٱلَّذِي فِي قَلۡبِهِۦ مَرَضٞ وَقُلۡنَ قَوۡلٗا مَّعۡرُوفٗا

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekelian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.

(Surah Al-Ahzab : 32)

Bahkan, digalakkan supaya memendekkan percakapan. Cukuplah sekadar yang sepatutnya dan mengikut keperluan, disamping menjaga adab-adab.

  1. Tidak boleh ada tujuan melihat ajnabi tanpa keperluan (seperti perempuan memandang lelaki tanpa ada apa-apa hajat dan begitu juga sebaliknya)

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ ٣٠ وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ

Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya.

 (Surah An-Nur: 30-31)

  1. Jika sekiranya perlu melihat, maka janganlah diiringi oleh nafsu syahwat

 Ini kerana, ia akan membawa kepada mafsadah (kecelakaan) dan juga diharamkan oleh syara’.

Sabda Baginda Sallallahu’alaihiwasallam:

لاَ تَتَّبِعْ النَّظْرَة النَّظْرَةَ ، فَإِنَّ الأُوْلَى لَكَ وَالآخِرَةَ عَلَيْكَ

Janganlah kamu susuli satu pandangan dengan pandangan yang lain. Pandangan yang pertama itu untuk engkau (tidak berdosa), dan yang kedua tidak (iaitu engkau akan dihukum atas pandangan kali kedua tersebut)

  1. Pihak lelaki dan perempuan mestilah cuba untuk memendekkan masa percampuran / ikhtilat tersebut tanpa perlu memanjangkannya.

Ini kerana, kebanyakan ikhtilat itu akan membawa kepada mafsadah, maka adalah sewajarnya kita menjauhi daripada terjatuh ke dalam mafsadah tersebut.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

كَالرَّاعِيْ يرعَى حَوْلَ الْحمى يوُشِكُ أَنْ يرتَعَ فِيْهِ ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِك حِمى أَلاَ وَإِنَّ حِمى اللهِ مَحَارِمُهُ

…sebagaimana pengembala yang mengembala di sempadan/batasan, dikhuatiri akan meragut di luar dari sempadan. Setiap raja itu ada sempadan, dan sempadan Allah itu adalah perkara-perkara yang haram

  1. Perlu dipastikan bahawa ikhtilat tersebut membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

Maka apabila telah sempurna syarat-syarat yang telah ditetapkan, haruslah ikhtilat tersebut. Jika tidak, ia dilarang sama sekali. Bukan kerana hukum asalnya haram, tetapi kerana tidak mencukupi syarat.

KHULWAH YANG DIHARUSKAN

Khulwah pula adalah suatu percampuran antara lelaki dengan perempuan yang ajnabi, di suatu tempat yang jauh daripada pandangan manusia lain. Maka bagi khulwah seperti ini hukum asalnya adalah haram. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَة إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan melainkan syaitan akan menjadi orang yang ketiga, duduk di antara mereka

Baca Juga [ Kesilapan Umat Islam Pada Hari Jumaat ]

Namun begitu, bagi kes-kes yang tertentu yang dianggap dorurat atau ada kepentingan-kepentingan tertentu yang mana sudah tidak boleh dielak, ia dibenarkan (mubah). Seperti doctor yang merawat pesakit di bilik pesakit jika mahram kepada pesakit itu tidak mampu hadir ketika rawatan tersebut.

 

Semoga bermanfaat untuk semua

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *