NIAT PUASA ASYURA 10 MUHARAM| Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari 'Asyura’ atau 10 Muharam merupakan sunnah Nabi.
Kata Ibn Abbas apabila ditanyakan mengenai puasa 'Asyura, beliau berkata:
Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah mengejar satu hari yang fadilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari 'Asyura. [HR Bukhari 2006]
Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Ini menunjukkan bahawa puasa 'Asyura lebih afdal berbanding hari-hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari Arafah lebih afdal berbanding puasa pada hari 'Asyura. Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa 'Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad. Oleh yang demikian, puasa Arafah lebih afdal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]
Kelebihan puasa pada 10 Muharam
Bagi mereka yang mencari keampunan Allah maka ganjaran yang dijanjikan ialah diampunkan dosa setahun yang lalu.
Dari Abu Qatadah: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah tentang puasa 'Asyura, maka kata Baginda:
Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. [HR Muslim 1162]
Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari 'Asyura’ atau 10 Muharam merupakan sunnah Nabi.
Sama-samalah kita mencari keberkatan dengan berpuasa sunat bukan sahaja pada 10 Muharam tetapi dianjurkan juga berpuasa pada 9 Muharram berdasarkan hadis:
Maksudnya: Ketika Rasulullah berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! 'Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu'a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah telah wafat. [HR Muslim 1916 ]
CARA PUASA PADA 10 MUHARAM
Disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharam seperti yang terdapat di dalam hadis. Kata Imam Syafie, sunat juga berpuasa pada 9 Muharam kerana baginda Rasulullah berniat untuk berpuasa pada tahun yang akan datang dengan berpuasa 9 dan 10 Muharam.
Dibenarkan berpuasa bagi mereka yang ingin puasa pada 10 Muharam sahaja. Yang paling baik adalah 9 dan 10 Muharam. Ini kerana, kata Imam Nawawi puasa pada 9 Muharam adalah untuk membezakan puasa orang Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharam.
Semoga kita mendapat keberkatan dalam melakukan amalan di bulan Muharam ini