10 Amalan Wanita ketika Haid dan Nifas

10 Amalan Wanita ketika Haid dan Nifas

10 Amalan Wanita ketika Haid dan Nifas | Bila wanita kedatangan Haid dan Nifas ni, of course tak boleh nak solat 5 waktu kan.

Cara terbaik untuk kita dekatkan diri dengan Allah swt walaupun kita tak boleh nak solat adalah dengan 10 amalan yang umi baca di blog siraplimau.

Umi share disini supaya umi tak lupa untuk buat amalan ni semasa Allah bagi cuti kat umi.Moga umi terus istiqomah dalam memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.Insyallah..

Kadang-kadang bila kita kedatangan haid, rasa tak kena pulak sebab selalunya kita buat 5 waktu tu kan.Masa tulah kita tadah tangan kat Allah dengan bersungguh-sungguh.Tapi bila tak dapat buat, kita rasa diri kita ni kosong sangat bila tak buat perkara yang kita selalu buat.Untuk tidak rasa diri tu kosong, dan menghindarkan kita dari buat perkara tak berfaedah, umi rasa amalan ni patut kita lakukan.Jom ikut umi baca apa 10 amalan wanita yang di dalam haid dan Nifas

10 AMALAN WANITA KETIKA HAID DAN NIFAS

MENDENGAR BACAAN AL-QURAN

Dianjurkan wanita yang di dalam haid dan nifas ni untuk mendengar al-quran melalui CD, Youtube, atau tafsir al-quran tanpa menyentuh mashafnya.Kita juga boleh dengar ayat al-quran sambil membuat kerja-kerja rumah.

MEMBACA TAFSIR AL-QURAN

Kita ambil peluang untuk cuba memahami dan mengkaji isi al-quran melalui terjemahan, kuliah-kuliah di internet, dan bahan bacaan rujukan.

Ia bukan  saja dapat memberi perspektif yang lebih jelas, malah ia juga dapat membantu kita lebih mudah meningati serta menghargai setiap surah yang di baca.

UCAPAN ZIKIR

Apa yang umi baca, banyak jenis zikir yang boleh menjadi amalan kita ketika dalam haid dan nifas.Ia berupa ucapan tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan sebagainya.

Zikir yang paling mudah untuk kita biasakan diri untuk sebut adalah Zikir Fatimah iaitu Subhanallah(33 kali), Alhamdulillah(33kali) dan Allahuakbar(34kali) yang selalu dibacakan ketika selepas solat.

BACAAN AL-MATHURAT

Kita sedia maklum Al-mathurat adalah himpunan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.Sekarang ni banyak buku-buku doa al-mathurat yang mudah kita dapatkan.Simpan satu untuk kegunaan .

Ia boleh dibacakan pada setiap pagi dan petang.Di dalam al-mathurat juga terdapat beberapa ayat al-quran tetapi dibolehkan membacanya dengan niat untuk berzikir.

BERSELAWAT

Selawat yang kita ucapkan akan sampai kepada Rasulullah SAW. Ia juga adalah bukti kecintaan dan ingatan kita terhadap Baginda.

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang berdasarkan dalil sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. (Dari hadis: An-Nasae’i: 1292, Sahih)

ISTIGHFAR

Ambil sedikit masa untuk mengingati semua kekurangan diri serta kekurangan ibadah kita selama ini. Banyakkan memohon taubat serta keampunan dari Allah melalui istighfar, dengan menyebut Astaghfirullah hal ‘aziim ( اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ ).

Terdapat banyak kelebihan istighfar bagi seorang hamba. Dari Ibni Abbas ra, baginda Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

BERDOA

Doa adalah antara amalan ketika haid yang paling mudah dilakukan. Ia boleh dilafazkan dengan apa juga bahasa dan pada bila-bila masa.

Dalam keadaan haid, kita boleh berdoa sekalipun doa itu termasuk dalam Al-Quran.

 

ULANG SURAH YANG LAZIM DI BACA /HAFALAN

Surah yang lazim dibaca di sini bermaksud surah yang menjadi amalan harian.

Sekiranya seseorang sedang dalam proses menghafal sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran, wanita juga boleh menggunakan masa ini untuk mengulang hafalan tersebut terutamanya bagi pelajar atau pengajar.

Menurut penjelasan dari laman web Mufti Wilayah Perksekutuan, sungguhpun terdapat khilaf, para ulama menyimpulkan bahawa wanita yang sedang dalam keadaan haid atau nifas boleh menyentuh dan membaca al-Quran yang mempunyai terjemahan.

Dengan adanya tulisan dan penerangan yang bukan al-Quran, maka ia tidaklah dianggap sebagai mashaf yang murni semata-mata.

 

MEMBACA BAHAN BACAAN AGAMA

Terlalu banyak bahan bacaan di luar sana yang boleh dimanfaatkan. Tidak kiralah buku berbentuk sejarah Islam, ibadah, pengetahuan hukum, hadis, motivasi, dan macam-macam lagi.

 

MENDENGAR KULIAH

Dengan perkembangan teknologi zaman ini, segalanya sudah berada di hujung jari. Memang mudah mendapatkan kuliah-kuliah melalui internet.

Namun begitu, usahakan juga untuk menghadiri majlis-majlis ilmu di dewan, kelas, surau, dan sebagainya kerana ia diibaratkan sebagai taman-taman syurga. Kita juga berpeluang untuk berdamping dan berkenalan dengan para ilmuan, golongan alim ulama, serta rakan-rakan yang baik.

 

Korang baca ni pun dah dapat ilmu.Syukur alhamdulillah..Jadi tak rasa diri tu kosong bila dah amalkan 10 amalan ketika dalam haid dan nifas ni kan…

Syabas korang

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *